Aku Seorang Guru: "Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani"
Di era digital yang serba canggih ini, guru memainkan peranan penting sebagai ‘Jauhari’ yang mengasah bakat dan kemahiran pelajar. Mereka bukan sahaja pengajar, tetapi juga pembimbing yang membawa aspirasi untuk membentuk sebuah negara madani yang berilmu dan beradab.
Guru-guru di Malaysia; khasnya kini lebih dari sekadar pendidik; mereka adalah pemacu transformasi digital dalam pendidikan. Dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mereka membuka jendela dunia kepada pelajar, menghubungkan ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Inisiatif seperti ‘Kelas Maya’ dan ‘Pembelajaran Berasaskan Projek’ adalah bukti nyata bagaimana guru-guru kita menjadi perintis dalam memanfaatkan teknologi untuk pendidikan yang inklusif dan holistik.
Sebagai contoh, SK ingin berkongsi pengalaman SK berkhidmat di sebuah sekolah yang terletak di pekan kecil dalam Bahagian Betong, negeri Sarawak di awal usia perkhidmatan SK dahulu. Di awal tahun 2007, perkembangan dunia digital adalah sangat minimal. Jurang digital jelas kelihatan apabila SK tiba ke jeti bot semasa hari pertama kami mendaftar ke sana. Yang menyambut kami hanyalah dua blok kelas kayu yang menumpang di tanah sekolah rendah di kawasan berkenaan. Bau tanah gambut yang penuh "ketam" dan selut hanya menusuk hidung kami. Apa nak didigitalkan di sini? Sungguh bah. SK pun redha je ketentuan ini. Sungguhnya ini adalah rezeki yang dikurniakan kepada diri kerdil ini.
Sebagai guru pelopor di sekolah ini, SK terus dilantik sebagai Ketua Panitia Geografi bagi anak-anak Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua pada tahun berkenaan. Sekolah baru, jumlah pelajar pun hanya mencecah 150 orang sahaja. Kelas Peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sahaja. SK sangat gembira di awal perkhidmatan di sini. Siapa kata pekan kecil ini tidak boleh didigitalkan? Kami guru-guru di sana sangat memaksimakan pendapatan kami demi anak-anak di sini. SK sangat sedih mendengar anak-anak ini hanya memahami dunia "pulau" mereka dan tidak pernah keluar walau pun ke pekan sebelah. SK berusaha membawakan dunia luar kepada mereka. Dengan hanya menggunakan komputer peribadi dan LCD yang SK beli pada bulan kedua perkhidmatan, SK dapat tunjukkan mereka dunia dengan Google Maps. Youtube banyak memberikan nafas baru kepada para pelajar SK di dalam bilik darjah. SK paling ingat sekali pengalaman SK "blend"kan pengalaman asas pelajar tentang filem-filem P.Ramlee dengan pengetahuan-pengetahuan Geografi yang bakal SK paparkan kepada mereka. Kemahiran melukis SK sangat ditekankan bagi meningkatkan pemahaman pelajar SK. Daripada pelajar yang tidak pandai menulis dan membaca, semuanya gembira dan aktif dalam kelas SK.
Peranan guru dalam era digital tidak terhenti di bilik darjah. Mereka juga memainkan peranan sebagai pembina komuniti, menghubungkan pelajar dengan pelbagai latar belakang dan budaya melalui platform digital. Ini membantu membina kefahaman dan toleransi antara pelajar, asas penting bagi sebuah negara MADANI. Begitu juga bagi SK. Bukan teknologi itu yang mendigitalkan bilik darjah. Tetapi minda guru yang perlu kreatif mewujudkan bilik darjah berteknologi. SK sangat merindukan anak-anak murid yang pernah singgah di hati SK ini. Mereka sangat polos dan ikhlas belajar dari "guru muda" ini pada masa itu.
Selain itu, guru-guru juga bertindak sebagai penjaga nilai-nilai murni dalam masyarakat. Dalam dunia maya yang luas, mereka mengajar pelajar untuk menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab, menanamkan nilai-nilai etika dan integriti. Ini penting untuk memastikan bahawa generasi akan datang dapat membezakan antara maklumat yang sahih dan palsu serta menjaga kesopanan dalam berkomunikasi.
Guru Jauhari Digital juga merupakan inspirasi kepada generasi muda untuk menjadi warganegara global yang berpengetahuan. Mereka menggalakkan pelajar untuk mengambil bahagian dalam dialog global dan projek kolaboratif antarabangsa, memperkukuhkan lagi aspirasi negara madani kita.
Dalam mencapai visi negara madani, pendidikan digital yang diterajui oleh guru-guru kita adalah kunci utama. Mereka bukan sahaja mengajar subjek akademik tetapi juga kemahiran hidup yang diperlukan di abad ke-21 ini. Kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti, kerjasama, dan komunikasi adalah sebahagian daripada kurikulum yang diperkaya dengan teknologi digital.
Akhir kata, guru-guru kita adalah permata berharga yang menyinari masa depan negara. Melalui dedikasi dan inovasi mereka dalam pendidikan digital, mereka membentuk generasi akan datang yang siap sedia untuk menghadapi cabaran global dan menyumbang kepada pembangunan negara MADANI yang kita impikan bersama.
Tiada ulasan