Amanat Ketua Pengarah Pendidikan: Lebih Daripada Sekadar Institusi
Sebagai seorang pendidik, kadangkala rutin harian di bilik darjah membuatkan kita terlupa tentang 'mengapa' kita memilih jalan ini. Namun, pada akhir Januari ini saya merasa sangat bertuah dan kerdil apabila berpeluang mendengar amanat daripada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM).
Ia bukan sekadar ucapan rasmi di atas pentas, tetapi satu peringatan yang menghujam terus ke sanubari. Mendengar setiap butir bicara beliau, saya tersedar bahawa menjadi guru bukan sekadar tentang menghabiskan silibus atau mengisi data, tetapi tentang memegang amanah yang sangat besar—amanah membina insan.
Amanat tersebut bagaikan satu 'kompas' yang membetulkan semula haluan perjuangan saya. Mari saya kongsikan beberapa refleksi penting yang sempat saya titipkan untuk kita renungkan bersama..."
1. Pendidikan Bukan Sekadar Ijazah, Tapi Sahsiah
Poin pertama yang ditekankan adalah tentang prinsip dan nilai teras. Menariknya, beliau menggalakkan guru menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD, namun dengan satu syarat: jangan tinggalkan sekolah. Secara ilmiahnya, ini adalah konsep Professional Development yang berterusan. Beliau mahu pakar-pakar akademik ini kekal di sekolah untuk memberi impak langsung kepada murid. Ilmu tinggi tanpa akhlak dan sumbangan praktikal kepada anak bangsa adalah satu kerugian.
2. Isu MMI: Melindungi Masa Instruksional
Satu angka yang agak mengejutkan ialah 40% murid tidak belajar akibat ketiadaan guru di dalam kelas (MMI - Melindungi Masa Instruksional).
• Garis Panduan Baru: Had keluar bertugas dihadkan kepada 21 hari setahun.
• Objektif: Memastikan guru ada di "medan perang" mereka yang sebenar, iaitu bilik darjah. Secara teknikal, ini adalah pengurusan sumber manusia yang bertujuan memaksimumkan keberhasilan pembelajaran murid.
3. RPM 2026-2035: Halatuju Sedekad Akan Datang
Kita sedang melihat pelan strategik jangka panjang yang disebut sebagai RPM (Rancangan Pembangunan Murid). Fokusnya jelas:
• Kecekapan pengurusan.
• Pendidikan berkualiti.
• Pembangunan karakter murid secara holistik.
Ini menunjukkan peralihan daripada pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata kepada pembangunan insan yang lebih menyeluruh (balanced human capital).
4. Hierarki Pelaksanaan: Dari KPM ke Sekolah
Sistem pendidikan kita menggunakan pendekatan Top-Down yang terancang:
• KPM: Menyusun Pelan Strategik.
• JPN & PPD: Menterjemah kepada Pelan Taktikal.
• Sekolah: Melaksanakan Pelan Operasi.
Ketiganya harus selari. Kalau salah satu "pancit", visi besar negara takkan sampai ke meja murid.
5. Sentuhan Kerohanian dalam Profesion
Apa yang menyentuh hati adalah apabila beliau mengingatkan 430,000 guru di Malaysia tentang konsep "Amal Makruf, Nahi Mungkar". Guru bukan sekadar penyampai maklumat, tapi pembina akhlak. Pesanan beliau agar "mencari yang lemah di kalangan murid" adalah satu bentuk pedagogi kasih sayang ( Pedagogy of Care) yang sangat diperlukan dalam mendepani cabaran sosial hari ini.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, ucapan ini adalah satu peringatan bahawa setiap tindakan adalah amanah. Kerja guru bukan sekadar slip gaji, tapi tentang Ilmu dan Adab.
Sebagai pendidik atau ibu bapa, kita semua adalah pemegang taruh ( stakeholders) yang bertanggungjawab memastikan ekosistem pendidikan kita bukan sahaja melahirkan orang yang "pandai", tapi orang yang "baik".


Tiada ulasan