Teknik dan Kaedah Membuat Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) #ikonguruDELIMa #DELIMaKPM #edufluencerKPM #pendigitalanpendidikan
Teknik dan Kaedah Membuat Rancangan Pelajaran Tahunan Pengajian Am STPM
Pada 16-18 Oktober yang lalu, sebuah Taklimat Penataran Sukatan Pelajaran Peperiksaan Baharu STPM bagi mata pelajaran Pengajian Am peringkat negeri Melaka telah diadakan. Pelbagai pengisian telah disampaikan kepada semua guru yang hadir.
Pengenalan
Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) merupakan dokumen penting yang menyusun perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sepanjang tahun akademik. Di Kolej Tingkatan Enam, penyediaan RPT yang sistematik dan fleksibel amat penting bagi memastikan keberkesanan PdP serta pencapaian objektif kurikulum. Pembangunan RPT bagi mata pelajaran Pengajian Am adalah sangat penting. Subjek wajib lulus ini adalah penentu masa hadapan pelajar saya di universiti kelak. Oleh yang demikian, saya sentiasa memastikan RPT sesuai dengan tahap pembelajaran pelajar pada tahun akademik semasa. Dengan kemajuan teknologi, pendigitalan pendidikan telah menjadi faktor utama dalam mempertingkatkan proses penyediaan RPT.
Teknik dan Kaedah Penyediaan RPT
1. Analisis Kurikulum dan Silibus
Langkah pertama dalam penyediaan RPT adalah menganalisis dokumen kurikulum dan silibus yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini termasuk mengenal pasti hasil pembelajaran, kandungan, dan penilaian yang perlu dicapai dalam tempoh masa tertentu. Sukatan Pelajaran mata Pelajaran Pengajian Am yang diterbitkan pada 30 Januari 2020 kini telah berubah kepada Kurikulum Baharu 2026 yang diterbitkan terkini pada 15 September 2024 yang lalu. Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua guru termasuk diri saya untuk menganalisis kurikulum baharu ini agar selari dengan aspirasi negara.
2. Penetapan Objektif dan Strategi Pengajaran
Setelah menganalisis kurikulum, saya telah menetapkan objektif pembelajaran bagi setiap minggu dan bulan. Jika ada keperluan, guru boleh menetapkan juga objektif bagi setiap minggu bergantung kepada keperluan mata pelajaran masing-masing. Strategi pengajaran yang sesuai, seperti pembelajaran berasaskan projek atau kolaboratif turut saya selitkan dalam RPT Pengajian Am untuk mencapai objektif tersebut di samping alatan Pembelajaran Abad Ke-21 seperti Peta i-Think, 1 stay, 3 stray, Pembelajaran Berasaskan Projek dan sebagainya mengikut kemahiran dan minat para pelajar saya.
3. Pengesanan Kemahiran Pelajar Semasa
- Pentaksiran Diagnostik: Ujian pra-pembelajaran untuk menilai tahap asas pengetahuan dan kemahiran pelajar selepas melihat pencapaian Bahasa Malaysia dan Sejarah SPM mereka.
- Pemerhatian Sistematik: Guru merekodkan pemerhatian terhadap tingkah laku dan prestasi pelajar dalam aktiviti tertentu di awal semester.
- Analisis Refleksi Pelajar: Pelajar menilai kekuatan dan kelemahan sendiri melalui borang refleksi atau jurnal pembelajaran.
- Penggunaan Sistem Digital (e-Rubrik & LMS): Platform seperti Google Classroom banyak membantu saya untuk menilai kerja pelajar secara dalam talian serta memberikan maklum balas segera.
- Pengesanan ini memberi gambaran awal tentang profil pelajar dan membantu saya menyusun strategi pembelajaran yang lebih berfokus kepada para pelajar saya.
3. Penyusunan Aktiviti dan Penilaian PdP
RPT perlu disusun mengikut takwim akademik, mengambil kira cuti umum, peperiksaan, dan aktiviti kokurikulum. Ini memastikan keseimbangan antara pengajaran dan aktiviti lain yang menyokong perkembangan pelajar.
4. Integrasi Teknologi Digital
Penggunaan teknologi seperti platform pembelajaran dalam talian, aplikasi pendidikan, dan sumber digital dapat memperkayakan PdP. Pendigitalan RPT membolehkan guru mengakses dan mengemas kini rancangan secara fleksibel serta berkongsi dengan rakan sejawat.
Kepentingan Pendigitalan Pendidikan dalam Penyediaan RPT
Pendigitalan pendidikan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan penyediaan RPT:
- Akses kepada Sumber Digital: Guru dan pelajar dapat mengakses pelbagai bahan pembelajaran seperti video, simulasi, dan e-buku yang memperkaya pengalaman pembelajaran. Kesemua bahan pembelajaran ini telah saya kumpulkan di dalam Laman Pengajian Am agar mudah pelajar saya mengakses walau di mana mereka berada pada bila-bila masa.
- Personalisasi Pembelajaran: Teknologi membolehkan penyesuaian kandungan pembelajaran mengikut keperluan individu pelajar, meningkatkan motivasi dan pencapaian mereka. Penghargaan kepada pelajar diberi secara langsung di dalam PdP selain di dalam kumpulan sembang Pengajian Am mereka.
- Pengurusan dan Pemantauan Efisien: Sistem pengurusan pembelajaran (LMS) memudahkan guru dalam merancang, melaksanakan, dan memantau PdP serta perkembangan pelajar. Dengan bantuan Google Sites, Padlet dan beberapa aplikasi pendigital yang lain, para pelajar dapat melihat perkemabangan mereka semasa saya memantau hasil mereka.
- Pembangunan Kemahiran Digital: Penggunaan teknologi dalam PdP membantu pelajar membina kemahiran digital yang penting untuk masa depan mereka. Kemahiran digital pelajar dapat dilihat secara langsung. Daripada takut menekan tetikus, kini pelajar saya menjadi seorang yang pantas apabila menyiapkan tugasan dengan komputer. Daripada sentiasa bergantung kepada pendrive, kini mereka lebih selesa memaksimakan tugasan di Google Drive. Walau di mana mereka berada, semuanya dapat diakses di pelbagai gajet tanpa perlu memikirkan untuk memuat naik dan memuat turun bahan berkenaan.
Perkembangan Terkini
“Dengan elemen ini, RPH yang dihasilkan akan menjadi ringkas dan tidak membebankan guru serta ia boleh dilaksanakan pada sesi persekolahan akan datang,”
- Fadhlina Sidek-
Kesimpulan
Penyediaan RPT yang berkesan di Kolej Tingkatan Enam memerlukan perancangan yang teliti dan adaptasi terhadap perubahan teknologi. Pendigitalan pendidikan bukan sahaja memudahkan proses penyediaan RPT tetapi juga meningkatkan kualiti PdP dan menyediakan pelajar untuk cabaran masa depan. Motivasi diri guru dan murid juga dapat dipertingkatkan.
Rujukan:
Cikgu Nor. (2024, Januari 22). Kepentingan Pembelajaran Digital dalam Pendidikan Murid-Murid Sekolah Rendah. Diakses dari https://www.cikgunorainiothman.com/2024/01/kepentingan-pembelajaran-digital-dalam.html
Gufran, I. (2024, Julai). Pendigitalan Sekolah: Transformasi Menuju Masa Depan Pendidikan. Diakses dari https://igufran.blogspot.com/2024/07/pendigitalan-sekolah-transformasi.html
Hasnieza, M., & Mazidah, M. R. (2024). Peranti Digital dalam Pendidikan: Kecekapan dan Produktiviti. Berita RTM. Diakses dari https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolumnis/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/peranti-digital-dalam-pendidikan-kecekapan-dan-produktiviti
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2024). Dasar Pendidikan Digital. Diakses dari https://semakanonline.com/dasar-pendidikan-digital/
Roshlawaty M.R (2024). Hanya 3 elemen sahaja perlu dimuatkan dalam RPH - KPM. Diakses dari https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/hanya-3-elemen-sahaja-perlu-dimuatkan-dalam-rph-kpm/news
UTHM News. (2024, Julai). Kepentingan Kompetensi Digital kepada Pendidik TVET di Malaysia. Diakses dari https://news.uthm.edu.my/ms/2024/07/kepentingan-kompetensi-digital-kepada-pendidik-tvet-di-malaysia/
Tiada ulasan