PAMERAN VERIFIKASI PERMOHONAN GCPC TAHUN 2025
PAMERAN VERIFIKASI PERMOHONAN GCPC TAHUN 2025
Sesi verifikasi permohonan Guru Cemerlang yang telah berlangsung dari jam 9:15 pagi hingga 3:30 petang hari ini, sesungguhnya merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan menginsafkan. Proses ini bukan sekadar penilaian oleh pihak luar, tetapi ia adalah peluang terbaik untuk saya merenung kembali perjalanan kerjaya saya sebagai seorang pendidik. Pelbagai cabaran yang saya lalui adalah satu bentuk pembelajaran yang memerlukan mental yang lebih kukuh.
Sepanjang proses persiapan dan pembentangan, saya akui ia menuntut komitmen yang tinggi dan pengurusan masa yang teliti. Walau pun program dalam dan luar sekolah berkunjung tiba tanpa henti sepanjang bulan Julai dan Ogos ini, saya bersyukur kerana dapat bersedia dengan keperluan yang dikehendaki untuk verifikasi ini. Semua cabaran ini telah mengajar saya erti sebenar ketabahan dan kesungguhan. Pameran yang diadakan adalah manifestasi kepada segala usaha dan inovasi yang telah saya laksanakan di dalam dan di luar bilik darjah. Saya dapat melihat dengan jelas bagaimana setiap perancangan dan aktiviti yang dijalankan, terutamanya dalam meningkatkan penguasaan pelajar dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan pendigitalan pendidikan khususnya melalui pembudayaan DELIMa dalam bilik darjah, telah membuahkan hasil. Terima kasih kepada semua pelajar saya di SMK Tun Haji Abdul Malek dan KTE Tun Fatimah kerana anda semua adalah sumber inovasi dan kreativiti saya dalam mencorakkan Pengajian Am ke arah yang lebih seronok dan cemerlang.
Saya berasa bangga dan bersyukur juga kerana telah menjadi sebahagian daripada warga pendidikan yang sentiasa menyokong. Sokongan dan dorongan daripada para pentadbir serta rakan-rakan guru di KTE Tun Fatimah, sama ada yang membantu dalam penyediaan bilik dokumen, menyusun bilik darjah, mahupun yang memberikan kata-kata semangat, benar-benar menjadi kekuatan. Ia membuktikan bahawa kecemerlangan individu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada sebuah pasukan yang utuh. Terima kasih, anda semua adalah wira saya.
Melalui proses ini, saya menyedari bahawa gelaran 'Guru Cemerlang' bukanlah satu penamat, tetapi satu permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Ia adalah amanah untuk saya terus belajar, berinovasi, dan berkongsi ilmu dengan lebih meluas. Saya bertekad untuk terus menjadi pemangkin kepada perubahan positif, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan guru, pelajar, dan seluruh komuniti pendidikan. Sokongan dan empati semua pihak adalah sumber kekuatan saya.
Akhir sekali, saya berharap agar segala usaha yang telah dicurahkan mendapat keberkatan dan menjadi sumber inspirasi kepada anda semua. Sesungguhnya, perjalanan ini telah memperkukuh keyakinan saya bahawa setiap guru mampu menjadi cemerlang, asalkan ada niat yang suci dan usaha yang berterusan.
Kepada mak ayah, suami, adik beradik saya, anak mama dan semua anak buah mak Long, terima kasih atas doa dan sokongan moral yang anda semua berikan. Kerjasama u all apabila diri ini sedang berperang dengan penulisan dan dokumentasi, telah mak Long pamerkan dalam sesi verifikasi kali ini. Semoga keputusan yang baik-baik untuk kita semua. Sayang anda semua.
Dari Jendela Hatiku,
Cikgu Khalijah
KTE (Prauniversiti) Tun Fatimah, Melaka
.png)


Tiada ulasan