Header Ads

khalijahlatiff SHARE, anda KNOW, kita bersama DEVELOP

Refleksi Pendidik: Di Sebalik Angka Jenayah dan Wajah Bakal Warganegara

 

 

Petikan: Statistik Jenayah Malaysia (2024)

Pengenalan Isu peningkatan kes jenayah di Malaysia semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Gejala sosial yang negatif ini bukan sahaja mengancam ketenteraman awam, malah membendung keharmonian sesebuah masyarakat. Oleh itu, pelbagai faktor pencetus perlu diteliti serta kesannya kepada negara harus dinilai bagi menangani masalah ini secara menyeluruh.

1. Faktor Tekanan Hidup

[Faktor peningkatan kes jenayah yang berlaku di Malaysia adalah disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat].  Peningkatan kos sara hidup serta masalah kewangan mendesak sesetengah individu mengambil jalan pintas dengan melakukan jenayah seperti mencuri atau merompak demi kelangsungan hidup. Tegasnya, tekanan ekonomi yang melampau boleh mengaburkan pertimbangan rasional seseorang hingga terjerumus ke dalam kancah jenayah.

2. Faktor Kurang Penghayatan Agama dan Moral

[Selain itu, faktor peningkatan kes jenayah yang berlaku di Malaysia ialah kurang penghayatan agama, moral dan nilai murni]. Individu yang mempunyai pegangan kerohanian yang lemah akan mudah terpengaruh oleh godaan nafsu serta tidak takut akan pembalasan dosa. Tegasnya, ketiadaan benteng keimanan yang kukuh menyebabkan seseorang bertindak melanggar undang-undang tanpa rasa bersalah.

3. Faktor Pengaruh Rakan Sebaya

[Seterusnya, pengaruh rakan sebaya yang negatif merupakan faktor peningkatan kes jenayah yang berlaku di Malaysia]. Sikap mahu diterima oleh kumpulan menyebabkan sesetengah individu terikut-ikut dengan tabiat buruk rakan seperti mencuri atau terlibat dalam gengsterisme. Tegasnya, pengaruh negatif rakan menjadi pemangkin kepada pendedahan awal perbuatan jenayah.

4. Kesan- Menjejaskan Ekonomi Negara

[Sementara itu, kesan peningkatan kes jenayah yang berlaku di Malaysia kepada negara adalah boleh menjejaskan ekonomi negara]. Kadar jenayah yang tinggi meragut keyakinan pelabur asing untuk melabur modal dan menguncupkan sektor pelancongan tempatan akibat ketakutan terhadap tahap keselamatan. Tegasnya, ketidaktentuan persekitaran yang berisiko ini menyekat pertumbuhan ekonomi dan merugikan hasil pendapatan negara.

5. Kesan- Menjejaskan Imej Negara

[Akhir sekali, kesan peningkatan kes jenayah yang berlaku di Malaysia kepada negara adalah boleh menjejaskan imej negara di persada antarabangsa]. Laporan media mengenai kadar jenayah yang membimbangkan memberi gambaran negatif bahawa Malaysia tidak selamat untuk dilawati atau didiami. Tegasnya, pencemaran imej antarabangsa ini mengurangkan penghormatan serta kepercayaan negara luar terhadap kestabilan keselamatan negara.

Penutup Kesimpulannya, jenayah yang kian meruncing memudaratkan kemajuan sosioekonomi dan ketenteraman negara secara menyeluruh. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta kerjasama erat antara komuniti dan pihak berkuasa amat kritikal untuk membanteras gejala ini. Tegasnya, negara yang selamat dan bebas jenayah menjadi asas kestabilan serta kesejahteraan rakyat.


😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨😨

Refleksi Seorang Guru Lemah

Bila melihat paparan statistik peningkatan kes jenayah—daripada jenayah siber, rasuah, sehinggalah ke salah guna kuasa dan jenayah kolar putih—hati seketul "cikgu" terus terdetik. Angka-angka itu bukan sekadar graf di atas kertas, tetapi ia adalah cerminan ketagihan moral dan kelemahan jati diri sebahagian daripada masyarakat kita hari ini.

Sebagai guru Pengajian Am STPM, pandangan saya serta-merta tertumpu kepada wajah-wajah anak-anak di dalam bilik darjah.

Mendidik Jiwa, Bukan Sekadar Mengejar A

Anda di hadapan cikgu ini adalah bakal warganegara yang bakal mencorak Malaysia dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi. Bukan sekadar seorang atau dua orang YB dalam kalangan anda, mungkin lebih!.  Di sinilah terletaknya beban jawapan dan muhasabah diri cikgu:

  • Adakah cikgu sekadar mengajar Perlembagaan dan Undang-undang untuk gred A STPM?

    Atau adakah cikgu benar-benar menanam rasa hormat yang mendalam terhadap kedaulatan undang-undang itu sendiri?

  • Adakah cikgu sekadar menghafal topik Tadbir Urus bersama anda?

    Atau adakah cikgu berjaya membina benteng integriti dalam jiwa anda supaya terus kalis daripada godaan rasuah dan penipuan kelak?

Perisai Sebenar Negara Bermula di Bilik Darjah

Peningkatan kes jenayah membuktikan bahawa penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak cukup untuk mengekang kejahatan jika kompas moral individu itu rosak.

Apabila cikgu mengajar Pengajian Am, cikgu tidak mahu melahirkan warganegara yang cerdik pandai semata-mata, tetapi licik memanipulasi undang-undang. Saya mahu melahirkan warganegara yang:

  1. Berintegriti tinggi: Memilih untuk membuat perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.

  2. Mempunyai empati: Memahami bahawa setiap tindakan jenayah—sama ada sebar fitnah siber mahupun pemalsuan dokumen—akan memberi kesakitan dan kerugian kepada manusia lain.

  3. Bertanggungjawab: Mempertahankan keharmonian dan keselamatan tanah air sebagai amanah peribadi, bukan sekadar tugas polis atau kerajaan.

Rumusan

Setiap kali cikgu berdiri di hadapan kelas, cikgu ingatkan diri sendiri: Pencegahan jenayah yang paling ampuh tidak bermula di lokap atau mahkamah, tetapi bermula di atas meja sekolah.

Anak-anak Mama sekalian pasti ada yang akan menjadi hakim, pegawai polis, pembuat dasar, usahawan dan pemimpin masyarakat esok hari. Jika cikgu berhasil menyemai nilai tanggungjawab dan empati dalam jiwa anda  hari ini, saya tahu statistik jenayah masa depan sedang dikurangkan, satu demi satu.  Sesungguhnya keyakinan cikgu sentiasa bersama kalian.


Mencoret;

22 Julai 2026 (23:52 pm)


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.