Header Ads

khalijahlatiff SHARE, anda KNOW, kita bersama DEVELOP

Saya Guru Pengajian Am: Polemik Pelarian di Malaysia – Antara Kemanusiaan dan Bebanan Ekonomi Negara

 

    

Tembak layar dari https://www.utusan.com.my/nasional/2026/06/127588-pelarian-di-malaysia-dipindah-ke-negara-ketiga-sejak-20-tahun/ 


Baru-baru ini, sambil melayari e-newspaper, pandangan saya tertumpu pada satu artikel yang menarik perhatian (Utusan Malaysia, Jun 2026): "127,588 pelarian di Malaysia dipindah ke negara ketiga sejak 20 tahun".

Sambil membaca laporan tersebut, secara automatik otak saya selaku guru terus "berhubung" dengan silibus Pengajian Am Semester 3 (Malaysia dan Hubungan Luar Negara). Malaysia sememangnya diiktiraf dunia sebagai sebuah negara yang berhati mulia dan tinggi nilai kemanusiaannya. Namun, jauh di sudut hati, timbul satu persoalan yang agak kritikal: Adakah kebaikan Malaysia selama ini telah dimanipulasi oleh golongan pelarian?


Mengapa Pelarian Suka Menjadikan Malaysia "Syurga" Pilihan? 

Sebelum kita menuding jari, kita perlu faham rasional mengapa mereka bertali arus ke sini. Kajian ilmiah menunjukkan Malaysia menjadi tumpuan kerana status negara kita yang aman, kestabilan politik, serta kekuatan sentimen keagamaan (terutamanya bagi pelarian Muslim seperti Rohingya yang merasa selamat di negara Islam). Selain itu, ruang dan peluang untuk mencari rezeki kelangsungan hidup di sini jauh lebih mudah berbanding di negara asal mereka yang bergolak.


Namun, dasar kemanusiaan tidak boleh mengatasi kepentingan nasional. Realitinya, lambakan pelarian yang terlalu lama di negara kita telah mencetuskan pelbagai kesan rantaian terhadap ekonomi Malaysia. Antaranya ialah:

1. Persaingan dalam Pasaran Buruh Kehadiran pelarian mencipta persaingan sengit dengan penduduk tempatan, khususnya dalam sektor buruh tidak mahir dan separa mahir. Pelarian ini sanggup menerima kadar upah yang jauh lebih rendah daripada gaji minimum. Akibatnya, majikan lebih cenderung mengupah mereka. Situasi ini menyebabkan "lambakan buruh murah" yang menyekat peningkatan kadar gaji pasaran tempatan, lantas menyukarkan belia dan kumpulan B40 kita untuk bersaing dalam pasaran kerja.

2. Kos Perbelanjaan Kerajaan Meningkat Bebanan kos penjagaan golongan pelarian menelan perbelanjaan negara yang bukan sedikit. Peningkatan kos ini merangkumi pengurusan dan logistik di pusat tahanan imigresen, peningkatan bajet rondaan agensi keselamatan (seperti APMM dan PDRM), serta perbelanjaan fasiliti kesihatan. Walaupun mereka mungkin dikenakan bayaran tertentu di hospital kerajaan, kos operasi dan infrastruktur yang disubsidi oleh kerajaan tetap meningkat secara mendadak akibat kepadatan pesakit.

3. Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Tidak Formal Ini adalah satu manipulasi yang jelas. Ramai pelarian kini berani menjadi "tauke", membuka perniagaan haram, menjaja tanpa lesen, atau memonopoli kawasan pasar borong. Aktiviti ini mewujudkan saingan tidak sihat kepada peniaga tempatan. Lebih membimbangkan, ia memacu pertumbuhan "ekonomi bayangan" (shadow economy) di mana urus niaga bernilai jutaan ringgit berlaku tanpa sebarang kutipan cukai, lantas merugikan pendapatan fiskal negara.

4. Menjejaskan Pertumbuhan Negara Kewujudan tenaga kerja pelarian yang murah dan mudah dieksploitasi telah membantutkan usaha transformasi ekonomi Malaysia. Majikan menjadi "malas" untuk melabur dalam inovasi, teknologi automasi, dan jentera moden (seperti yang dituntut dalam Revolusi Industri 4.0) kerana kebergantungan melampau kepada buruh manual yang murah. Selain itu, sebahagian besar wang yang dijana oleh pelarian ini dihantar keluar dari Malaysia secara tidak rasmi (pengaliran wang haram), yang akhirnya merugikan imbangan ekonomi negara kita.

5. Menjejaskan Kemasukan Pelabur Asing Kawasan yang mempunyai kepadatan pelarian yang tinggi sering dikaitkan dengan penempatan setinggan, isu kebersihan, dan peningkatan kadar jenayah. Isu-isu ketegangan sosial dan keselamatan ini mencemarkan imej kesejahteraan bandar. Kestabilan sosial adalah kriteria utama yang dinilai oleh pelabur. Jika pelabur asing merasai bahawa keselamatan awam mula terancam akibat lambakan warga asing tanpa dokumen/pelarian, mereka akan menarik diri daripada menyuntik Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia.


Refleksi Guru Cemerlang:

Sebagai pelajar Pengajian Am dan rakyat Malaysia, kita mesti mahir mengimbangi antara ihsan dan kedaulatan. Ya, Malaysia negara yang baik, namun "kera di hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan" tidak sepatutnya menjadi takdir kita. Jika kita sulam lebih meluas, isu ini pastinya boleh mengundang ancaman kesihatan global dan mungkin jenayah transnasional akibat pergerakan merentasi sempadan negara tersebut.  Dasar pengurusan pelarian perlulah dikaji semula agar tiada pihak luar yang bebas memanipulasi kebaikan tanah air ini.

Alang-alang kita membincangkan topik ini, Cikgu ingin mengambil peluang untuk menegur satu miskonsepsi yang sering calon STPM lakukan apabila menjawab soalan esei Semester 3. Ramai pelajar masih terkeliru dan menyamakan antara istilah "Hubungan Luar Negara" dan "Hubungan Diplomatik". Supaya kalian tidak tersalah konsep, ingat formula mudah ini:

  • 🌐 Hubungan Luar Negara (Konsep Payung Besar): Ini merujuk kepada dasar, prinsip, atau cara Malaysia berinteraksi dengan dunia luar secara menyeluruh. Ia merangkumi pelbagai dimensi termasuk perdagangan, sosial, sukan, penyertaan dalam pertubuhan antarabangsa, dan tindakan kemanusiaan (seperti menguruskan pelarian bersama pihak UNHCR). Ia tidak semestinya memerlukan ikatan rasmi antara dua kerajaan.

  • 🤝 Hubungan Diplomatik (Konsep Ikatan Rasmi): Ini pula jauh lebih spesifik. Ia merujuk kepada pertalian politik secara rasmi dan terikat dengan undang-undang antarabangsa antara dua buah negara yang berdaulat. Hubungan ini biasanya ditandakan dengan pembukaan pejabat kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi, serta pertukaran duta antara kedua-dua negara.

Contoh paling mudah difahami: Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan entiti haram Israel (kita tidak ada kedutaan dan tiada pengiktirafan rasmi kepada mereka). Namun, dalam ruang lingkup hubungan luar negara, dasar kita amat lantang memperjuangkan keadilan bagi bumi Palestin di pentas antarabangsa!

Jadi, dalam konteks isu pelarian, penglibatan Malaysia menerima dan melindungi mereka buat sementara waktu adalah manifestasi dasar hubungan luar negara kita yang menjunjung prinsip kemanusiaan dan kerjasama antarabangsa (walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951).

Berikut adalah infografik janaan Gemini yang saya sediakan untuk mengurangkan mitos-mitos anda berkenaan PELARIAN.

Sumber: Janaan Gemini saya dari pembacaan di laman UNHCR

Semoga perkongsian malam ini merungkai kekeliruan anak-anak cemerlang Cikgu. Teruskan membaca dan peka dengan isu semasa, kerana Pengajian Am itu adalah subjek yang "bernyawa" di sekeliling kita!


Rujukan Ilmiah (Bahan Bacaan Lanjut):

  • Azizah Kassim. (2010). Muslim Refugees in Malaysia: An Analysis of the Status of Rohingya from Myanmar. Tokyo University of Foreign Studies.

  • Aizat Khairi. (2019). Penanganan Masalah Pelarian Rohingya di Malaysia dalam Konteks Hybrid Peace. Tesis Sarjana, Universiti Sains Malaysia (USM).

  • Mohamad Azri, et al. (2022). Pelarian Etnik Rohingya di Malaysia: Persepsi Awam Dan Cadangan Penghantaran Pulang. ResearchGate.

  • Aida Zahirah Samsudin & Napisah Karimah Ismail. (2022). Dilema Pendidikan Kanak-Kanak Rohingya Di Malaysia: Satu Tinjauan Awal. MANU (Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UMS).


Saya seorang guru,

Cikgu Khalijah

-Melaka-

11 Julai 2026; 23:54



Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.